Menurut Puteri Nabila, dia terpaksa menolak ajakan bapanya ke Kuantan berjumpa rakan lama Allahyarham kerana dia sedang menduduki peperiksaan akhir semester.
“Kalau ikutkan hari ini (semalam) saya perlu habiskan dua kertas lagi untuk semester akhir ini dan kerana itulah, saya tolak ajakan arwah abah yang begitu beria nak saya ikut sama, sehinggakan dekat-dekat nak bertolak pun dia masih ajak saya.
“Sebelum pergi, arwah mama (Noor Akmal Mohd Zain, 48) juga sempat bergurau dengan saya. Kata mama ‘kakak tak menyesal ke tak nak ikut kami?” cerita Puteri Nabila dalam nada sebak kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Raja, Chendering, semalam.
Lebih menyedihkan, dua minggu lalu, ibu kandungnya, Rohana Muhammad yang dipanggil ‘Ummi’ meninggal dunia akibat darah tinggi.
“Walaupun abah sudah berpisah dengan Ummi pada 2009, hubungan kami memang rapat. Abah berkahwin dengan mama pada 2010.
“Semasa Ummi ada, kami tiga beradik memang selalu ulang alik ke rumah abah di Kampung Bukit Bayas, terutamanya ketika cuti dan setelah Ummi tiada, memang kami terus tinggal bersama mereka di sana sepenuhnya.
“Terus terang saya katakan, walaupun mama hanya ibu tiri, dia memang terlalu baik dan melayan kami tiga beradik macam anak kandungnya sendiri,” katanya.
Pada masa sama, Puteri Nabila memberitahu, dia tidak menyangka lambaian mereka yang begitu beria-ia sebelum bertolak pergi merupakan lambaian terakhir kepadanya.
“Patutlah sebelum mereka pergi, semua yang ada dalam kereta, termasuk abah dan mama, begitu beria-ia melambai kepada saya, sehinggalah hilang dari pandangan sedangkan sebelum ini mereka tak pernah buat sampai macam itu.
“Mungkin mereka nak beritahu yang mereka akan tinggalkan saya bersendirian untuk selamanya,” katanya.
Puteri Nabila berkata, dia hanya mengetahui tragedi menimpa keluarganya selepas dimaklumkan oleh jiran.
“Sebelum itu, memang saya rasa tak sedap hati sebab mama janji nak telefon saya jam 3 petang untuk ingatkan beri makan kucing, tetapi sampai ke sudah mama tak telefon.
“Jadi, saya cuba telefon mereka tapi tak berjawab, saya hantar pesanan melalui WhatsApp. Itu juga tak dibalas, dan sepanjang menunggu itulah saya mula gelisah sebelum diberitahu oleh jiran,” katanya.
Jenazah kedua-dua adik Puteri Nabila, Aliff Hateem, 16, dan Aliff Hakim, 12, dikebumikan dalam satu liang lahad, manakala Azaman, 49, dikebumikan berhampiran pusara Allahyarham ibu kandungnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja,
Chendering, kira-kira jam 4 pagi, semalam.
Jenazah Noor Akmal Mohd Zain, 48, bersama kakak tiri, Noor Amira Syahirah Alias, 22, dan adik angkatnya, Aqeel Muslim, 3, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Lintang, Besut.
Di KEMAMAN, bapa saudara Azaman, Abdul Aziz Mohd Yassin, 54, memaklumkan, ketika kejadian mangsa enam beranak dalam perjalanan dari rumah mereka di Kuala Terengganu ke Kuantan untuk berjumpa seorang rakan Azaman.
“Kebiasaannya setiap kali datang ke Kuantan, mereka akan singgah rumah saya. Tapi kali ini mereka datang tanpa beritahu, mungkin nak buat kejutan dan tak mahu saya dan isteri susah-susah masak,” katanya.
Dalam kemalangan itu, Toyota Camry yang dinaiki enam sekeluarga itu dipercayai terbabas sebelum merempuh dan terperosok di belakang treler muatan beras yang berhenti di lorong kecemasan. -sh
Sumber
0 comments:
Post a Comment